Assalamualaikum wrt. wbh.
Bismillah wa bihi nasta'in.
Peristiwa banjir yang melanda rakyat Malaysia pada penghujung Disember 2014 yang lepas adalah yang terburuk pernah berlaku selepas pertama kalinya melanda bumi tercinta ini pada tahun 1967 dahulu (seperti yang diceritakan oleh orang tua saya). Ke sana ke mari melihat mangsa banjir, kebanyakannya pasti merintih sedih dan hanya segelintir mampu mengukir senyuman manis akibat bencana yang menimpa tempat tinggal yang sudah sekian lama didiami.
Kejadian yang menimpa diri saya dan keluarga adalah amat remeh berbanding orang lain dan tidak perlulah untuk diceritakan semula. Jangan mengungkit walau satu biskut kecil kita dapat makan kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita, dan Dia telah menyediakan penyelesaiannya sebelum sempat kita bersungut dan lupa bersyukur untuk menguji iman kita. Dan kita sememangnya selalu bersungut dan malas untuk meminta (yang terbaik) daripada-Nya.
Dipendekkan cerita, masih banyak dalam kalangan masyarakat kita yang lupa daratan bahawa semuanya adalah kepunyaan Allah. Diri kita, ibu bapa dan isteri, anak-anak dan saudara mara serta harta benda kita merupakan kepunyaan-Nya yang Maha Esa. Kita hanya meminjam, bila-bila masa yang Maha Memberi pinjam segala-galanya pada diri kita boleh mengambilnya semula.
Banjir 2014 pada pandangan saya sendiri, yang telah melaluinya, terperangkap di dalam kampung selama 3 hari 4 malam tanpa bekalan elektrik (walaupun kawasan rumah tidak dinaiki air, hanya terkepung) cuba menjelaskan kepada kita betapa banyak hikmah yang tersembunyi sebagai penebus kepada dosa-dosa dek tangan-tangan kita di muka bumi Allah ini.
Pada kita yang tidak pernah melaluinya,
Ingatlah Allah hendak kita cuba merasai jerih perih mangsa-mangsa banjir yang lain..
Pada kita yang mementingkan diri sendiri ini,
Ingatlah Allah hendak kita semua bekerjasama dan bersatu padu antara satu sama lain..
Pada kita yang sering bersungut ini,
Ingatlah Allah hendak menguji kita, sejauh mana pergantungan kita kepada-Nya..
Pada kita yang sering lupa ini,
Ingatlah Allah cuba menyedarkan kita bahawa segala sesuatu yang kita miliki adalah milik-Nya..
Pada kita yang leka dengan dunia,
Ingatlah Allah cuba memberitahu, bahawa kiamat sudah hampir menjelang tiba..
Apa yang berlaku ini merupakan ujian dari Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang yang sering mengaharapkan kita akan berubah daripada yang buruk kepada yang baik, daripada yang baik kepada yang lebih baik dan seterusnya. Serlahkanlah rasa syukur kita kepada-Nya walau sekadar hanya 5 minit ruang masa pada waktu pagi dan petang yang semuanya adalah milik-Nya yang Maha Melihat dan Maha Mendengar walau sedikit tasbih yang terlantun dari bibir mulut kita.
Insyaallah, sama-sama kita berubah.
Walhamdulillahirabbil 'alamin.
[+/-] Baca lagi..
0 comments :
Post a Comment